Friday, November 1, 2013

Seronok Jadi Guru

Bukan semua orang boleh jadi guru. Nak memohon jadi guru ramai. Bila mula-mula masuk universiti tiada seorang pun mempunyai keinginan menjadi pendidik. Rata-rata ingin menjadi pegawai kerajaan, jurutera, polis dan sebagainya. Tapi bila dapat ijazah kerja tak ada. Susah nak dapat kerja. Kerja dengan swasta jangan haraplah. Kalau tak mahir berbahasa Inggeris, majikan tak pandang pun. Akibatnya semua nak jadi guru sekolah. Bila dapat jawatan guru, mulalah kata, pekerjaan guru tak sesuailah. Rimaslah bila berhadapan dengan murid. Ramai yang salahkan murid yang menyebabkan dia tak boleh mengajar dengan baik. Kononnya, kalau dia ditempatkan disekolah yang pelajar terpilih, dia pasti ok mengajar. Entahlah. Fenomena ini masih berlarutan. Bilalah masa dan ketikanya kita boleh jumpa guru-guru yang benar-benar cintakan profesionnya. Guru yang sukakan sekolahnya. Guru yang sayangkan anak muridnya.

Sunday, July 6, 2008

GURU DULU, GURU SEKARANG (3)

Seminggu dua ni sibuk sikit. Ramai orang berkata bila dah bersara, bersara saja le. Tak payah susah-susah ganggu kerja orang lagi. Biar le orang lain buat kerja mereka. Masa kita dah lepas. Biar lah orang sekarang tentukan masa depan mereka.


Tapi penulis tak boleh. Hampir 32 tahun berkecimpung dalam bidang pendidikan, membuat kita dah sebati dengan cerita-cerita yang ada kaitan dengan pendidikan. Macammana tak campur. Cerita tentang cikgu tak masuk kelas, murid ponteng, GB selalu pergi mesyuarat dll tiap-tiap hari penulis dengar.


Pergi surau pun kawan-kawan cerita pasal sekolah. Jumpa kawan lama kat pasar pun, mesti 'gosip tentang sekolah' menjadi topik utama. Memang penulis malas nak dengar.


Macam pagi tadi, jumpa kawan kat gerai roti canai. Dia tanya penulis, "kenapa guru sekarang ni dah tak macam dulu?" Bila dia pergi ke sekolah nak tanya tentang pencapaian anaknya, guru-guru tak layan dia dengan baik. Guru kelas anaknya taklah marah-marah kat dia, katanya lagi.


Cuma guru minta dia datang masa lain. Dia banyak kerja, kata guru tu lagi. Lagipun anak kawan penulis tu, bukanlah tak baik, semua ok. Jadi tak perlu nak segera-segera, tambah guru tu lagi sambil memberi salam.


Kawan penulis naik bengang juga. Dia cuma nak tau tentang sikap dan cara anak dia belajar dalam kelas. Akhir tahun ni, nak periksa UPSR. Kat rumah anak dia ok je. Tapi keputusan periksa setengah tahun tak le berapa baik. Harapan pada anak yang paling bungsu tu bagitu tinggi. kalau boleh biarlah dapat 5A.


Tapi sikap guru tu membuatnya keciwa. Semangatnya berkobar-kobar nak membantu anaknya dah mula kendur.


Penulis cuba menenangkan perasaan kawan penulis tu. Penulis beritau dia, datang saja lain masa. Mungkin bila guru dah bersedia, guru kelas anak tu akan menerangkan dengan lebih teliti lagi.


Bagi penulis, dalam hal saperti ni, guru harus bijaksana melayan karenah ibubapa. Kita mesti memberi keutamaan terhadap kehendak penjaga. Kerana mereka adalah pelaggan utama kita. Mereka 'stakeholder' kita. Tak ada anak mereka, tak adalah kita.


Penulis amat faham, sekarang ni, guru di beri beban tugas yang banyak. Bukan sekadar kerja kelas saja. Bukan sekadar mengurus dan mengendali P&P saja. Tapi kerja pentadbiran yang melibatkan pengumpulan data yang sepatutnya dilakukan oleh pentadbir.


Itu belum lagi musim aktiviti kokurikulum. Guru sudah tentu terlibat melatih muridnya dan juga menghadiri mesyuarat di PPD atau di Jabatan.


Dalam hal saperti ni, kita perlu bercakap dengan baik dengan penjaga berkenaan. Apa yang boleh kita buat ialah kita catatkan di atas sekeping kertas apa yang saja yang nak ditanya oleh penjaga berkenaan. Tulis saja apa yang dia cakap. Kemudian beritau penjaga bahawa maklumat tentang anak akan diberitau pada masa yang sesuai. Mohon maaf dengan baik.


Katakan padanya, kita amat menghargai keperihatinan penjaga berkenaan, tetapi ada tugas lebih memerlukan guru ditempat lain atas arahan guru besar.


Kalau ada guru kaunselor atau guru bimbingan, bawa penjaga berkenaan kepadanya. Minta guru bimbingan bantu penjaga berkenaan apa yang patut.


Atau bawa saja penjaga berkenaan kepada GB atau GPK. Biar mereka yang bantu. tapi maklumat murid berkenaan perlu ada dan berikan kepada GPK.


Apa yang penting di sini ialah komunikasi. Tutur kata dan 'body language' kita harus mempamirkan keramahan dan kemesraan. Senyum, mesra dan peramah adalah kunci utama dalam kita menghadapi situasi saperti ini.


Penulis memang akui menghadapi karenah penjaga memang sukar. Penjaga biasanya tak mahu dengar alasan kita tak ada masa. Mereka tak boleh terima alasan guru sibuk. Ini lah masalahnya. Bagi mereka, mereka perlu dilayan.


Penjaga seharusnya faham, tugas guru paling utama ialah menghadirkan diri dalam kelas. Ini keutamaan. Tak boleh ponteng. Kalau ada kelas, mesti tinggalkan semua kerja.


Penulis berharap dapat berbincang lagi topik ini di lain masa. SENYUM, MESRA, PERAMAH.



Saturday, June 21, 2008

GURU DULU, GURU SEKARANG (2)

Dalam usaha kita untuk memantapkan seistem pendidikan negara, saperti yang dirancang melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, perancangan 5 tahun, kita memerlukan guru-guru yang benar-benar berkualiti tinggi, profesional dan berminda kelas pertama. Di samping itu kita perlu juga memiliki guru yang mempunyai ciri-ciri 'guru sejati'.

Setiap insan yang ingin terlibat mendidik anak-anak di sekolah, perlu sedar bahawa menjadi guru bukan semata-mata 'mengajar'. Menjadi 'guru' perlu menjadi 'pendidik'. 'Mengajar' adalah sebahagian daripada mendidik.

Pengertian 'mengajar' lebih kepada proses atau aktiviti memasukkan ilmu ke dalam akal manusia. Menyampaikan ilmu pengetahuan supaya manusia atau anak murid kita menjadi 'tahu' daripada 'tidak tahu'. Melatih seseorang daripada 'tidak pandai' kepada menjadi 'pandai'. Dalam bahasa inggeris disebut 'educate'.

Kalau dalam bahasa arab, 'Pendidikan' membawa tiga pengertian. Iaitu ta`lim, tarbiyah dan ta'dib. Menurut Syed Naguib al-Attas, pengertian ta'dib lebih tepat kerana ta'lim dan tarbiyah hanya membawa maksud mengajar. Sedangkan ta`dib lebih luas lagi dan merangkumi ta`lim dan tarbiyah.

Memang 'mendidik' adalah tugas utama guru. Mendidik merupakan proses yang melibatkan penerapan nilai-nilai akhlak. Penerimaan ilmu pengetahuan mesti disertai dengan penerapan nilai-nilai murni supaya murid dapat dibentuk secara menyeluruh yang merangkumi aspek mental, rohani, emosi dan jasmani. Ini sudah termaktub dalam pelaksanaan KBSR dan KBSM.

Namun bagitu oleh kerana belbagai halangan dan kurangnya komitmen serta sikap sambil lewa biasanya aktiviti mengajar hanya melibatkan penyaluran maklumat tanpa menerapkan nilai-nilai utama kemanusiaan.

Melalui proses mendidik kita bukan saja mahu anak murid menjadi pandai tapi kita juga mahu melihat mereka menjadi seorang insan yang berakhlak, berdisiplin, bertanggungjawab dan dipenuhi dengan nilai-nilai kemanusiaan.

"Kerja sebagai guru, sapa-sapa boleh buat" Itulah yang sering dikatakan oleh kebanyakan calon yang menghadiri temuduga untuk menjadi guru. Kebanyakan orang beranggapan semua orang boleh jadi guru. Alasan yang paling munasabah ialah bila GSTT masih lagi dilantik di sekolah.
(akan di sambung dalam 'Guru Dulu,Guru Sekarang 3)

Thursday, June 19, 2008

GURU DULU, GURU SEKARANG


Penulis gembira dan rasa terharu bila membaca tajuk berita di ruangan Pendidikan akhbar Berita Harian bertarikh 20 Jun, 'GURU BUKAN LAGI PILIHAN TERAKHIR'. Menurut berita berkenaan, seramai 108,394 permohonan dari lepasan SPM 2007beradu nasib supaya terpilih mengikuti program perguruan di Institut Pendidikan Guru seluruh negara.


Ia merupa satu bilangan yang besar dan diluar jangkaan. Kalau lima dan enam tahun dulu bilangan yang memohon menjadi guru tidak sampai ratusan ribu. Mungkin 60,000 saja. Dua tiga tahun kebelakangan ini, kita menyaksikan bilangan yang memohon untuk memasuki IPG terus meningkat.


Kita tidak hairan jika IPG menjadi pilihan pertama bagi pelajar cemerlang diperingkat SPM untuk mereka melanjutkan pelajaran. Menurut berita itu lagi, daripada 108,394 calon lepasan SPM yang memohon program itu, seramai 9,444 adalah pelajar cemerlang yang memiliki keputusan 5A keatas.


Kalau dulu pelajar yang memiliki keputusan cemerlang akan memandang sepi program perguruan. Program perguruan tidak ada dalam pemikiran mereka. Kerjaya 'guru tak main le.. Kata-kata sinis seperti itu menjadi sentiasa gurauan.


Hingga ada dari kalangan pelajar yang berminat nak memohon guru terpaksa berahsia akan hasrat mereka dari diketahui oleh rakan-rakan. Malu, jika rakan tau mereka pilih guru sebagai pilihan pertama.


Ibu bapa langsung tidak menyokong anak mereka yang keputusan cemerlang memohon guru. Kalau anak mereka keputusan tak berapa baik barulah merayu-rayu memohon untuk jadi guru.


Program saperti Kejuruteraan, Undang-undang, kedoktoran dan perakaunan akan menjadi rebutan. Mereka berlumba-lumba memilih program matrikulasi dan ijazah di universiti tempatan.


Tapi semua ini dah berubah. Bidang perguruan dah menjadi pilihan pertama.


Perubahan ini ada kaitannya dengan naik taraf maktab perguruan kepada IPG yang melaksana program ijazah.


Tidak dapat dinafikan juga usaha yang bersungguh-sungguh dilakukan oleh KPM bagi meningkatkan mutu pendidikan negara dan perkhidmatan perguruan itu sendiri telah membuka mata masyarakat bahawa guru adalah kerjaya yang baik, selamat dan menguntungkan.


Apa tidaknya, memasuki program perguruan sudah ada jaminan bahawa kerja menanti apabila tamat pengajian. Tidak seperti program lain terpaksa menunggu dua atau tiga tahun bagi mendapat pekejaan tetap. Gaji guru juga sudah lebih baik dari dulu. Guru di Malaysia anatara gaji yang tertinggi di rantau ini.


Peluang naik pangkat juga lebih baik dari bidang lain. Kalau dulu kena tunggu 15 tahun nak dapat naik pangkat. Tapi sekarang jawatan naik pangkat ke DG 44, DG 48 dan DG 52 dah terbuka luas. Perjawatan naik pangkat telah diluluskan oleh JPA baru-baru ini menyaksikan lebih 1000 jawatan naik pangkat secara hakiki dan timebase.


Apa yang terfikir oleh penulis ialah apakah pelajar cemerlang ini benar-benar ingin menjadi guru atau kerana takut mengganggur selepas tamat belajar? Kita bimbang bidang perguruan dilambakkan dengan golongan yang tidak berminat menjadi guru tetapi hanya memilih kerana pendidikan merupakan tempat yang paling 'selamat'.


Mereka cuma fikir nak menyelamatkan diri mereka dari mengganggur tanpa melihat apakah diri mereka benar-benar sesuai dengan profesion perguruan.


Kita bersyukur kerana Bahagian Pendidikan Guru sudah mempunyai instrumen khusus bagi mengenalpasti calon yang benar-benar layak menjadi 'guru'. Keputusan cemerlang dalam SPM bukan kreteria mutlak untuk terpilih menjadi guru.


Memang benar kita memang memerlukan pelajar cemerlang menjadi guru. Tapi cemerlang saja tak mencukupi. Kita perlukan calon yang juga memiliki ciri-ciri asas guru. Calon yang sudah memiliki kualiti guru dalam diri mereka. Personaliti guru perlu menonjol. Paling tidak sahsiah keguruan mendominasi perwatakan mereka.


Personaliti kerguruan inilah yang perlu dicari dalam diri setiap calon yang akan ditemuduga oleh Bahagian Pendidikan Guru.


Setakat ni dulu. Kita jumpa selepas ini.











Monday, June 16, 2008

Terima Kasih KPM

Penulis mengambil kesempatan di sini merakamkan jutaan terima kasih kepada Kementerian Pelajaran Malaysia kerana memberi kesempatan kepada penulis berkhidmat dalam bidang pendidikan serta mencurahkan khidmat bakti selama 32 tahun dalam usaha meningkatkan taraf pendidikan anak bangsa.





32 tahun bukan satu jangka masa yang singkat. Kalau dikira umur, sesorang itu telah menjangkau dewasa dan telah banyak cabaran dan dugaan yang ditempuhinya. Begitu jugalah perkhidmatan penulis selama 32 tahun telah banyak mengharungi rintangan, onak dan duri. Banyak peristiwa suka dan duka yang dialami dan terpaksa ditelan. Semunya itu mendewasakan penulis.






Penulis mula berkhidmat sebagai guru bila saja tamat pengajian di UKM lembah pantai, pada 1 jun 1979. Bila saja dapat surat penempatan, bukan main seronok lagi. Maklumlah kita akan dapat gaji tetap bulanan. Semangat nak mengajar berkobar-kobar. Lebih-lebih lagi penulis ditempatkan di sebuah sekolah menengah di kampung berdekatan kampung kelahiran, Kg Kemahang. Jauhnya lebih kurang 6 km saja.




Nama sekolah itu ialah SM Budu, di Kampung Budu, dalam daerah Lipis. Sekarang ni sekolah ini dah dikenali dengan nama baru SM Panglima Garang Abdul Samad. Pda waktu itu sekolah ini serba kekurang. Tidak ada kemudahan letrik dan bekalan air. Yang ada cuma bekalan letrik 12 jam.




Kampung Budu sebuah kampung tradisional dan majoriti penduduknya orang melayu. Sekolah ini menerima murid dari sekolah-sekolah rendah berhampiran. Terdapat tiga blokbangunan untuk kemudahan pengajaran dan gurunya lebih kurang 30 orang. Sekolah ini mula dibuka pada tahun 1970. Mungkin lebih awal lagi.




Pekan terdekat ialah Benta. Benta sebuah pekan kecil yang menjadi tumpuan penduduk beberapa kampung berdekatan. (pada masa depan insyaallah penulis akan bercerita mengenai pekan Benta ni).




Pada hari pertama tu, lebih kurang jam 8.00 pagi penulis melapor diri pada pengetua pada waktu itu bernama Tuan Haji Adnan. Beliau menerima dengan baik dan memperkenalkan saya dengan GPK dan guru-guru yang lain. Ada dua orang lagi guru berijazah pada masa itu iaitu Cikgu Aziz Awang dan Cikgu Nordin Haji Mohd. Mereka telah melapor diri awal 1976 lagi kerana mereka lulusan UM. Pelajar-pelajar UKM konvo lewat sikit.




Guru-guru lain kebanyakannya muda-muda belaka. Semuanya baru saja tamat maktab perguruan dari seluruh negara. Rakan-rakan guru pada masa itu yang saya masih ingat ialah Gikgu Mohd Nazir, GPK yang berpengalaman dan sangat memahami karenah guru-guru muda. Beliau berasal dari Kg Tanjung Besar. Saya difahamkan beliau masih lagi sihat dan menjalani kehidupan sebagai orang kampung. Terima kasih kepada cikgu Nazir kerana banyak membantu kami menghadapi karenah murid-murid.


Insyallah penulis akan bercerita lagi mengenai pengalaman pertama di SMKPGAS di lain masa. Pada kali ini penulis ingin merakan sekali lagi jutaan terima kasih kepada YB Menteri Pelajaran kerana memberi peluang kepada penulis berkhidmat sebagai guru, GPK, Pengetua Sekolah, Pegawai Pendidikan Daerah, Ketua Sektor, Timbalan Pengarah IAB dan Pengarah Pendidikan Guru.
Amanah yang diberi telah saya laksanakan sebaik mungkin. Salah silap sya mohon maaf. Kesilapan sepanjang tempoh itu saya mohon jutaan kemaafan. TK KPM.






Saturday, June 14, 2008

Seronoknya jadi pesara

Mulai 9 November 2007 yang lepas, dengan rasminya saya menjadi pesara kakitangan awam dan sekaligus menjadi orang awam sepunuh masa. Semasa bertugas dulu, rakan-rakan yang pencen lebih awal sempat mencerita tentang betapa seronoknya mereka dapat 'rehat' sepenuh masa dan beristirihat bersama keluarga tanpa diganggu. Bekas Pengarah IPSAH Sg Petani kedah Tuan Haji Abu Bakar, sahabat semasa di UKM, yang bersara tujuh bulan lebih awal dari saya, sempat membisikkan kpd saya bahawa ia telah kembali 'muda'. Fikirannya lapang, tidak banyak perkara yang perlu difikirkan. Tidak ada lagi kertas kerja yang perlu dibuat, tidak ada lagi rungutan dari pensyarah dan pelajar yang perlu diselesaikannya. Katanya lagi "aku boleh rehat bila-bila masa dan aku boleh pegi kat mana-mana aku suka...". Katanya lagi "aku sempat baca semua surat khabar."
Memang apa yang sahabat saya katakan tu memang betul. Setelah hampir enam bulan bersara, saya dapat menikmati kehidupan yang tidak dapat saya kecapi semasa berkhidmat sebagai pegawai awam.. Segala-segalanya berubah. Seolah-olah satu kehidupan baru telah bermula. Tidak ada lagi jadual yang perlu diikuti. Tidak ada lagi temu janji yang perlu dipenuhi. Tidak ada lagi 'senarai semak tugasan' yang perlu di lihat. Dan yang paling penting, tiada lagi telefon dari bos atau pejabat pengurusan tertinggi yang meminta kita menjawab atau menjelaskan isu yang berbangkit di dada akhbar. Pegawai-pegawai di peringkat pengurusan maupun sokongan tidak lagi berbaris di depan pintu pejabat menunggu untuk dapatkan pandangan, keputusan ataupun tandatangan. Bila pencen saja dari perkhidmatan kerajaan kita tidak ada apa-apa hubungan lagi dengan segala yang kita lakukan dulu. Kita tidak perlu lagi bertungkus lumus mencari jawapan atau penyelesaian bila sesuatu masalah timbul. Kita boleh tidur nyenyak tanpa memikirkan, "apa yang patut aku buat esok hari?"
Walaubagaimanapun, saat ini saya sudah mula 'rindu'kan semua itu. Ternyata sekali kehidupan semasa 'berkerja' telah mewarnai watak dan perwatakan saya. Ianya tak boleh dipisahkan. Ternyata sekali 'pendidikan' sudah sebati dengan jiwa saya. Hampir 32 tahun bertugas dalam bidang pendidikan sudah tentunya saya tidak boleh lari dari bercerita dan bercakap mengenai anak murid, guru, sekolah, kurikulum dan apa saja yang berkaitan dengan pendidikan. Insyaallah melalui blog ini saya akan bercerita, berceloteh dan berbincang mengenai pengalaman saya sepanjang 32 tahun dalam bidang pendidikan.