Saturday, June 14, 2008

Seronoknya jadi pesara

Mulai 9 November 2007 yang lepas, dengan rasminya saya menjadi pesara kakitangan awam dan sekaligus menjadi orang awam sepunuh masa. Semasa bertugas dulu, rakan-rakan yang pencen lebih awal sempat mencerita tentang betapa seronoknya mereka dapat 'rehat' sepenuh masa dan beristirihat bersama keluarga tanpa diganggu. Bekas Pengarah IPSAH Sg Petani kedah Tuan Haji Abu Bakar, sahabat semasa di UKM, yang bersara tujuh bulan lebih awal dari saya, sempat membisikkan kpd saya bahawa ia telah kembali 'muda'. Fikirannya lapang, tidak banyak perkara yang perlu difikirkan. Tidak ada lagi kertas kerja yang perlu dibuat, tidak ada lagi rungutan dari pensyarah dan pelajar yang perlu diselesaikannya. Katanya lagi "aku boleh rehat bila-bila masa dan aku boleh pegi kat mana-mana aku suka...". Katanya lagi "aku sempat baca semua surat khabar."
Memang apa yang sahabat saya katakan tu memang betul. Setelah hampir enam bulan bersara, saya dapat menikmati kehidupan yang tidak dapat saya kecapi semasa berkhidmat sebagai pegawai awam.. Segala-segalanya berubah. Seolah-olah satu kehidupan baru telah bermula. Tidak ada lagi jadual yang perlu diikuti. Tidak ada lagi temu janji yang perlu dipenuhi. Tidak ada lagi 'senarai semak tugasan' yang perlu di lihat. Dan yang paling penting, tiada lagi telefon dari bos atau pejabat pengurusan tertinggi yang meminta kita menjawab atau menjelaskan isu yang berbangkit di dada akhbar. Pegawai-pegawai di peringkat pengurusan maupun sokongan tidak lagi berbaris di depan pintu pejabat menunggu untuk dapatkan pandangan, keputusan ataupun tandatangan. Bila pencen saja dari perkhidmatan kerajaan kita tidak ada apa-apa hubungan lagi dengan segala yang kita lakukan dulu. Kita tidak perlu lagi bertungkus lumus mencari jawapan atau penyelesaian bila sesuatu masalah timbul. Kita boleh tidur nyenyak tanpa memikirkan, "apa yang patut aku buat esok hari?"
Walaubagaimanapun, saat ini saya sudah mula 'rindu'kan semua itu. Ternyata sekali kehidupan semasa 'berkerja' telah mewarnai watak dan perwatakan saya. Ianya tak boleh dipisahkan. Ternyata sekali 'pendidikan' sudah sebati dengan jiwa saya. Hampir 32 tahun bertugas dalam bidang pendidikan sudah tentunya saya tidak boleh lari dari bercerita dan bercakap mengenai anak murid, guru, sekolah, kurikulum dan apa saja yang berkaitan dengan pendidikan. Insyaallah melalui blog ini saya akan bercerita, berceloteh dan berbincang mengenai pengalaman saya sepanjang 32 tahun dalam bidang pendidikan.

2 comments:

MOHD NAZRI BIN SALEH said...

Dato adalah seorang tokoh pendidik yang sangat bernilai. Harapan saya semoga Dato tidak jemu2 memberikan input kepada dunia pendidikan

Terima Kasih
MOHD NAZRI BIN SALEH
KUANTAN
md_yie147@yahoo.com

Unknown said...

Terika kasih. Insyaallah saya akan terus memberi pandangan serta buah fikiran berhubung dengan pendidikan negara kerana ianya sudah sebati dengan jiwa saya.